Assalamualaikum Datin Seri.
Saya Muhammad Muizzudin bin Zaini
Julai 2011 lalu, genaplah usia saya 19 tahun.
Saya perkenalkan diri, sebagai remaja yang ingin tahu. Apa jua medium yang termampu saya pergunakan, saya usahakan sebaiknya agar saya dapat mengikuti perkembangan semasa, khususnya berkenaan negara Malaysia yang tercinta ini.
Iya, Datin Seri. Umur saya, sangat muda. Kedudukan saya, jauh benarlah kiranya dibandingkan dengan Datin Seri. Namun, saya yakin dan percaya, andai umurlah yang menjadi penentu kelayakan seseorang untuk bersuara, tidaklah layak sama sekali untuk suami Datin Seri memegang amanah pentadbiran negara sekarang, kerana di luar sana terdapat ramai yang lebih tua usianya!
Tegas saya, saya adalah remaja yang memerhati. Saya tidak mahu, sekadar menjadi manusia yang kerjanya memuaskan tembolok sendiri. Tidak juga hanya terpaku di bilik darjah, ‘menelan’ buku teks sekolah. Saya percaya, erti hidup pada memberi!
Datin Seri Rosmah Mansor yang saya hormati,
Saya pohon jutaan kemaafan, andai surat kecil ini menyinggung Datin Seri. Saya tidak berniat untuk menyakiti hati Datin Seri, jauh sekali memburuk-burukkan. Surat kecil ini, hanyalah usaha kerdil saya, menyampaikan isi hati. Ia hanyalah suara hati dan pandangan seorang anak muda.