APO DAH JADI : Jutaan TErima Kasih Untuk Setiap Klik Geng Semua...Sebab jadi penghidup blog ni...Saya akan membalas blogwalking geng semua yang datang selagi mampu

Thursday 12 January 2012

SUKAN:Lin Dan Tumpas Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia:Chong Wei Mara

IMPIAN untuk menyaksikan bintang sensasi China, Lin Dan untuk membuat perhitungan dengan jaguh negara, Datuk Lee Chong Wei pada final Kejohanan Badminton Siri Super Terbuka Malaysia 2012 tidak kesampaian.

Ini kerana, jaguh dari ‘Negara Tembok Besar’ itu ditunjukkan jalan keluar seawal pusingan kedua apabila tewas di tangan pemain perseorangan Denmark, Jan O Jorgensen 21-14, 15-21, 15-21 pada aksi yang berlangsung di Stadium Putra, Bukit Jalil semalam.

Bagaimanapun, kekalahan Lin Dan itu dikatakan telah diatur lebih awal kerana dia mahu memberi peluang kepada rakan senegaranya, Chen Jin dan Chen Long mara ke final, sekali gus merangkul kejuaraan.

Malah, ia juga dapat membantu menaikkan ranking kedua-dua rakan senegaranya itu seandainya berjaya mara ke final.

Ini bukan kali pertama, China mengatur konspirasi sebegitu rupa, malah ia sering kali terjadi dalam beberapa kejohanan sebelum ini.

Sementara itu, Chong Wei menepati ramalan awal apabila mudah mara ke peringkat suku akhir apabila melepasi halangan pada pusingan kedua semalam.

Tampil selaku pilihan pertama kejohanan, Chong Wei yang juga merupakan pemain No. 1 dunia mengenepikan cabaran perseorangan Jepun Kazushi Yamada 21-8, 21-18 dalam tempoh hanya 37 minit.

“Pada set pertama, saya ada hilang fokus sedikit dan menyaksikan saya ketinggalan. Namun, saya bangkit untuk mengejar mata semula,” kata Chong Wei ketika ditemui pemberita sejurus tamat perlawanan semalam.

Ditanya mengenai kekalahan yang dialami seteru utamanya, Lin Dan semalam, Chong Wei memberitahu: “Lin Dan juga seperti saya. Ada kejohanan yang dia beraksi dengan baik dan ada sebaliknya.

‘Saya percaya dia akan kembali berada pada tahap prestasi sebenarnya dalam kejohanan-kejohanan seterusnya.

“Memang orang mahu lihat saya berdepan dengan dia di final tetapi dia sudah kalah dan saya tidak boleh berbuat apa-apa,” ujar Chong Wei.

Pada aksi peringkat suku akhir hari ini, Chong Wei akan berdepan rakan baiknya, Taufik Hidayat dari Indonesia.

“Taufik merupakan seorang pemain yang berpengalaman. Memang dia tidak pernah bergelar juara tahun lalu tetapi saya percaya dia kini sudah semakin baik.

“Hari ini (semalam) pun dia menang dengan pemain Vietnam (Nguyen Tien Minh). Bukan mudah sebenarnya untuk menewaskan pemain Vietnam itu tetapi Taufik berjaya melakukannya.

“Saya tidak mahu terlalu memikirkan mengenai corak permainan Taufik esok (hari ini) kerana apa yang lebih penting adalah persiapan serta fokus diri saya sendiri,” jelas Chong Wei.

Dalam pada itu, beregu wanita negara, Wong Pei Tty-Chin Eei Hui turut melangkah ke peringkat suku akhir selepas menudukkan Eom Hye Won-Jang Ye Na dari Korea Selatan 21-18, 21-14 pada pusingan kedua semalam.

Terdahulu, hasrat pemain perseorangan wanita negara, Tee Jing Yi untuk mara ke peringkat suku akhir buat kali pertama pada kejohanan ini menemui kegagalan.

Jing Yi terpaksa akur dengan kehebatan pemain pilihan kelapan kejohanan, Julia Schenk dari Jerman apabila tewas pada aksi pusingan kedua di Stadium Putra, Bukit Jalil semalam.

Pada set pertama, Jing Yi dilihat masih mampu memberikan tentangan kepada Julia sebelum akur dengan kekalahan 18-21.

Jing Yi yang diharapkan mampu bangkit untuk mengheret perlawanan sekurang-kurangnya ke set penentuan dilihat tidak bermaya apabila tewas 6-21 pada set kedua.

Kekalahan Jing Yi itu sekali gus menyaksikan berakhirnya saingan negara dalam acara perseorangan wanita pada Terbuka Malaysia kali ini.

Turut ditunjukkan jalan keluar ialah beregu lelaki negara, Mak Hee Chun-Ong Soon Hock apabila tewas kepada beregu Indonesia, Markis Kido-Hendra Setiawan.
Lin Dan Tumpas Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...