APO DAH JADI : Jutaan TErima Kasih Untuk Setiap Klik Geng Semua...Sebab jadi penghidup blog ni...Saya akan membalas blogwalking geng semua yang datang selagi mampu

Wednesday 19 October 2011

Operasi Firefly diambilalih oleh MAS

Langkah tumpu syarikat khidmat tambang murah guna pesawat turboprop

PENERBANGAN Malaysia (MAS) akan mengambil alih operasi penerbangan jet milik anak syarikat perkhidmatan tambang murah milik penuhnya, Firefly sejajar dengan program rasionalisasi rangkaian penerbangannya untuk kembali menjana keuntungan.

Langkah itu akan menyaksikan Firefly hanya menumpukan kepada laluan jarak dekat menggunakan pesawat turboprop, manakala MAS akan menumpu kepada usaha meningkatkan tawarannya dalam perkhidmatan premium penuh.
Ia sekali gus menjelaskan kedudukan Firefly selepas pemeteraian perjanjian pertukaran saham antara MAS dan AirAsia Bhd Ogos lalu yang menyaksikan kedua- dua pesaing itu bekerjasama bagi meraih manfaat dari segi operasi.

Ketua Eksekutif Kumpulan MAS, Ahmad Jauhari Yahya, berkata langkah MAS mengambil alih perkhidmatan jet Firefly itu adalah sebahagian rancangan pemisahan menerusi usaha pelarasan semula perniagaan kumpulan bagi menangani isu kerugian berterusan yang ditanggung operasi jet Firefly.

Pengambilalihan operasi perkhidmatan jet Firefly adalah bahagian penting proses pelarasan semula MAS dan ia dicetuskan keperluan menangani rancangan penstrukturan semula angkatan pesawat dan rangkaian perkhidmatan jet jarak dekat.

Dengan meletakkan operasi jet Firefly menerusi kumpulan, MAS akan memberi tumpuan kepada usaha mengembangkan segmen perkhidmatan premium penuh, katanya menerusi kenyataan di Kuala Lumpur, semalam.
Firefly yang berpangkalan di Lapangan Terbang Subang kini mempunyai angkatan 10 pesawat turboprop ATR 72-500 dan lapan jet dengan enam adalah Boeing 737-800 dan dua Boeing 737-400.

Angkatan jet Boeing Firefly digunakannya di hab sekunder yang mana B737-800 berpangkalan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan Lapangan Terbang Kota Kinabalu, manakala B737-400 di Lapangan Terbang Senai, Johor Bahru.

Syarikat itu memulakan operasinya pada 2007 dengan dua pesawat Fokker F50 yang mempunyai kapasiti 50 penumpang.

Ahmad Jauhari berkata, program rasionalisasi itu akan dilaksanakan dalam tempoh dua bulan, berdasarkan sektor ke sektor dan ia akan menyaksikan semua jet Firefly dibawa masuk ke dalam operasi MAS pada 4 Disember ini.

MAS kekal komited terhadap Sabah serta Sarawak dan akan terus mengendalikan semua perkhidmatan ke Kota Kinabalu dan Kuching.

Sebagai tambahan, MAS Wings juga akan terus mengendalikan semua penerbangan ke laluan lain yang kini beroperasi di Sabah dan Sarawak, katanya.

MAS dalam kenyataannya itu turut menegaskan bahawa, operasi pesawat turboprop Firefly dari lapangan terbang Subang dan Pulau Pinang akan diperkukuhkan dengan tambahan dua pesawat yang baru dihantar baru-baru ini.

Pesawat itu akan membolehkan Firefly memulakan semula perkhidmatan Subang-Kuantan-Subang serta menyediakan kapasiti untuk meningkatkan kekerapan perkhidmatan laluan sedia ada, katanya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...