APO DAH JADI : Jutaan TErima Kasih Untuk Setiap Klik Geng Semua...Sebab jadi penghidup blog ni...Saya akan membalas blogwalking geng semua yang datang selagi mampu

Wednesday, 26 October 2011

Berita: Mangsa Asid Perlukan Bantuan

SHAFIQ AIMAN (kiri) dan Shafiq Haikal masih dirawat di HKL selepas selamat menjalani pembedahan kelapan pada bahagian muka pada 20 Oktober lalu. 

KUALA LUMPUR - Ibu kepada dua beradik yang menjadi mangsa simbahan asid dalam kejadian di Felda Ketumbar Jengka 9, Maran pada 19 Julai lalu melahirkan rasa sedih mengenangkan nasib kedua-dua anaknya yang tercicir dalam pelajaran kerana banyak masa terpaksa dihabiskan di hospital.

Ruhashimah Julaili Mansur, 33, berkata, dia bingung setiap kali mengenangkan nasib kedua-dua anaknya iaitu Shafiq Haikal Mat Safar Zaidi, 13, dan Shafiq Aiman, 10, telah hampir tiga bulan tidak hadir ke sekolah kerana terpaksa berulang-alik dari Maran untuk menjalani rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Menurutnya, setelah dimasukkan ke HKL sejak 20 Julai lalu, kedua-dua anaknya tidak dapat menjalani sesi persekolahan seperti biasa.

"Pilu hati saya apabila mengenangkan nasib kedua-dua anak saya yang ingin kembali ke sekolah tetapi mereka lebih banyak terlantar di katil hospital," katanya ketika ditemui Kosmo! di HKL semalam.

Malah katanya, nasib dua beradik itu bertambah malang apabila mereka tidak dapat menjalani kehidupan normal seperti kanak-kanak sebaya kerana mengalami kecacatan kekal seumur hidup setelah muka mereka melecur teruk akibat disimbah asid.

"Mereka berdua tidak dapat ke sekolah seperti biasa selama hampir tiga bulan kerana terpaksa menjalani pembedahan bagi merawat kerosakan kulit.

"Lebih sayu apabila mereka ada bertanya sama ada rakan-rakan di sekolah akan menerima mereka atau sebaliknya kerana muka mereka sudah tidak seperti dulu," katanya

Dalam kejadian pada 19 Julai lalu, dua beradik itu mengalami kecederaan parah apabila disimbah cuka getah oleh seorang pekerja ladang yang juga jiran mangsa ketika dalam perjalanan ke rumah kawan mereka di Felda Ketumbar Jengka 9, Maran, Pahang.

Mereka yang mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan termasuk muka, mata dan badan itu telah menjalani lapan kali pembedahan termasuk tampalan kulit baharu pada muka sejak dirawat di HKL pada Julai lalu.

Ruhashimah memberitahu, kedua-dua anaknya sempat ke sekolah selama tiga minggu selepas menyambut Aidilfitri lalu namun, terpaksa meninggalkan persekolahan buat sementara kerana menjalani pembedahan yang seterusnya.

"Ketika sempat ke sekolah itu, anak saya ada mengadu yang mereka tidak dapat menjawab soalan peperiksaan kerana sudah lama tidak ke sekolah dan kurang faham dengan apa yang diajar oleh guru mereka." ujarnya.

Katanya, walaupun kedua-dua orang anaknya itu ada mengikuti program Sekolah Dalam Hospital (SDH) ketika dirawat di Wad Pediatrik HKL pada bulan Ogos lalu namun ia tidak banyak membantu.

"Mereka hanya sempat mengikuti program tersebut selama dua minggu sebelum dipindahkan dari Wad Pediatrik ke Wad Plastik di Institut Kaji Saraf HKL kerana keadaan mereka alah kepada cuaca panas," katanya.

Sementara itu, Ruhashimah turut merayu bantuan kewangan daripada pihak-pihak tertentu bagi menampung perbelanjaan perubatan kedua-dua anaknya itu.

Menurutnya yang merupakan seorang suri rumah, dia terpaksa menampung kos perjalanan pergi balik, kos pembiayaan perubatan dan kos pembedahan plastik yang menelan belanja yang banyak.

"Saya terpaksa membeli topeng dan sarung badan khas daripada klinik swasta untuk mereka berdua bagi melindungi kulit mereka yang melecur daripada matahari dan jangkitan bakteria.

"Topeng getah yang disediakan pihak HKL tidak cukup selesa dan kulit mereka akan berasa gatal-gatal jika terdedah kepada cuaca panas," katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi Ruhashimah di talian 013-9590706.



sumber: kosmo online

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...