APO DAH JADI : Jutaan TErima Kasih Untuk Setiap Klik Geng Semua...Sebab jadi penghidup blog ni...Saya akan membalas blogwalking geng semua yang datang selagi mampu

Friday 21 October 2011

Lifestyle: Tabu Pil Perancang

SEBUT sahaja pil perancang pasti ada sahaja konotasi negatif terhadap pil itu di minda sesiapa yang mendengarnya. Pil perancang atau nama lainnya pil kontraseptif oral mula diperkenalkan 50 tahun dahulu membolehkan wanita dan pasangan masing-masing mengawal kehamilan sekali gus mengelakkan kehamilan tidak dirancang.

Sebelum tercetus revolusi farmaseutikal sehingga terciptanya pil itu, pelbagai cara dilakukan bagi mengelakkan kehamilan.

Di Mesir, tercatat di lembaran manuskrip papirus mengenai cara mengelakkan kehamilan iaitu dengan memasukkan pelbagai bahan ke dalam

vagina untuk mencegah kehamilan. Ada di antara bahan tersebut diperbuat daripada najis buaya.

Ahli falsafah Yunani, Aristotle pula ada menerangkan kaedah pencegahan kehamilan dengan mencampurkan minyak zaitun dan madu disapu pada bahagian serviks bagi mengelakkan sperma menembusinya.

Kehamilan terancang

Itu merupakan sebahagian daripada cara-cara kuno untuk mengelakkan kehamilan.

Kini, lebih 100 juta wanita di seluruh dunia mengaplikasikan kontraseptif oral dengan mengambil pil pencegahan kehamilan.

Pengambilan pil itu merupakan pilihan terbaik jika dibandingkan dengan kaedah kuno malah, ia dipercayai boleh membantu menangani isu kehamilan tidak dirancang.

Tidak keterlaluan jika dikatakan pil itu mampu mengurangkan kes pembuangan bayi di negara ini.

Sebelum adanya pil itu, kadar kelahiran sangat tinggi sehingga ada di antara anak-anak ini terabai, tidak mendapat perhatian secukupnya malah, tidak ke sekolah memandangkan ibu bapa tidak mampu untuk menghantar anak-anak ke sekolah.

Menariknya pil itu bukan sahaja berfungsi untuk merancang kehamilan malah, ia memberi perlindungan terhadap kesihatan wanita.

Pakar dan Pensyarah Kanan Jabatan Obstetrik dan Ginekologi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Helena Lim memberitahu, penggunaan pil perancang dapat membantu mengurangkan kematian maternal.
SIMPTOM prahaid dan pendarahan haid dapat dikurangkan dengan pil perancang. 


“Ia juga dapat mengelakkan kehamilan tidak dirancang serta kehamilan berisiko tinggi serta mengurangkan kes pengguguran tidak selamat.

“Malah, ia mampu melindungi wanita daripada penyakit seperti kanser ovari dan endometrium,” katanya ketika memberikan ceramah kesihatan bertajuk 50 Tahun Penggunaan Pil baru-baru ini.

Tambahnya, wanita yang mengambil pil pencegah kehamilan akan hidup lebih lama dan kadar kematian rendah daripada pelbagai penyakit termasuk sakit jantung dan semua jenis kanser.

“Pengambilan pil ini juga dapat meningkatkan kualiti hidup wanita kerana dengan perancangan keluarga yang efektif, kesihatan mereka lebih baik, lebih banyak tenaga untuk pembangunan diri, karier dan aktiviti komuniti.

“Selain mencegah kehamilan, pil ini juga memberi manfaat bagi meningkatkan kualiti hidup wanita kerana ia mampu mengurangkan simptom prahaid, mengurangkan pendarahan haid yang banyak dan merawat masalah jerawat,” ujarnya.

Mitos pil perancang

Kemasukan kontrasepsi merupakan penyumbang terbesar kepada peningkatan kepuasan hidup bagi 450,000 wanita di 12 buah negara Eropah (1975-1998) kerana ia meningkatkan pelaburan terhadap pendidikan, kebarangkalian untuk bekerja dan paras pendapatan yang juga meningkat.

Pil pencegah kehamilan telah berkembang sejak mula diperkenalkan 50 tahun lalu dengan menampilkan dos yang lebih rendah, lebih inovatif selain memberikan manfaat bukan sahaja kepada wanita demi peningkatan kualiti hidup mereka.

“Banyak persepsi salah dan mitos terhadap pil ini dalam kalangan masyarakat terutamanya wanita dan kesemua tanggapan tersebut melabelkan pil ini mendatangkan keburukan terhadap kesihatan wanita.

SIMPTOM prahaid dan pendarahan haid dapat dikurangkan dengan pil perancang.

“Mitos yang paling popular menyatakan pil kontraseptif ini menyebabkan kanser walhal fakta yang sebenarnya adalah sebaliknya kerana ia melindungi wanita daripada mendapat kanser ovari dan kanser uterus,” katanya.

Helena turut memberitahu, bahawa pil kontraseptif bukan sahaja digunakan untuk mencegah kehamilan malah, efektif bagi mengurangkan kesakitan ketika haid, senggugut dan simptom sindrom sebelum haid (PMS).

Selain itu, ia mampu mengurangkan risiko mendapat anemia (keadaan yang sering berlaku terhadap wanita yang mengalami pendarahan yang banyak ketika haid) malah, dapat melindungi wanita daripada kehamilan ektopia, osteoporosis, sista ovari dan kanser ovari.

“Tidak semua pil kontraseptif ini sama. Pelbagai jenis pil kontraseptif untuk wanita boleh didapati di pasaran dan setiap daripadanya mempunyai kebaikan serta fungsi yang berbeza.

“Adalah penting bagi seseorang wanita sebelum membuat keputusan untuk mengambil pil ini mendapatkan nasihat doktor supaya pil yang diambil sesuai dengan keperluan dan tahap kesihatan mereka,” jelasnya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...