APO DAH JADI : Jutaan TErima Kasih Untuk Setiap Klik Geng Semua...Sebab jadi penghidup blog ni...Saya akan membalas blogwalking geng semua yang datang selagi mampu

Thursday, 20 October 2011

Berita: Pesanan Y.P.Agong Kepada UiTM Untuk Anak Bangsa

SHAH ALAM: Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin mahu Universiti Teknologi MARA (UiTM) terus memainkan peranan penting dalam mengubah nasib anak bangsa.

Seri Paduka bertitah peranan dan nama baik UiTM perlu diperkukuhkan supaya kedudukan universiti itu terus terpelihara dalam apa jua keadaan.
"Teruskan usaha meningkatkan kualiti program agar modal insan UiTM terus berdaya saing, berintegriti dan bertanggungjawab sebagai pewaris dan penerus bangsa di bumi bertuah ini," titah Tuanku Mizan pada sidang pertama Istiadat Konvokesyen UiTM kali ke-75 di Dewan Agong Tuanku Canselor (DATC) di sini, hari ini.
Turut berangkat Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah.

Tuanku Mizan turut bertitah agar semua graduan dapat menjadi warganegara yang berguna, berjasa kepada agama, bangsa dan negara serta memanfaatkan ilmu yang diperoleh sebaik-baiknya.

Seri Paduka turut bertitah supaya semua graduan tidak menjadikan majlis konvokesyen pada hari ini sebagai titik akhir dalam pencarian ilmu sebaliknya meneruskan usaha dalam menuntut ilmu dan berpegang teguh terhadap falsafah mencari ilmu sepanjang hayat.

Yang di-Pertuan Agong turut melahirkan rasa bangga kerana UiTM hari ini mengukir sejarah apabila kumpulan pertama seramai 27 orang graduan Fakulti Pergigian menamatkan pengajian dan menerima ijazah masing-masing.
"Tahniah dan syabas beta ucapkan. Dengan itu lengkaplah penawaran program UiTM melalui 25 buah fakulti.

"Sesungguhnya orang-orang Melayu atau Bumiputera boleh terus menikmati pengajian yang berkualiti di UiTM yang diiktiraf oleh badan-badan profesional dari dalam dan luar negara," titah baginda.

Istiadat konvokesyen kali ini adalah kali terakhir dihadiri Tuanku Mizan sebagai Canselor selama lima tahun.

Tuanku Mizan turut mengucapkan tahniah kepada Profesor Dr Atta-ur-Rahman, saintis Islam tersohor dunia dari Pakistan yang menerima Ijazah Kehormat Doktor Sains pada majlis itu.

Istiadat konvokesyen kali ini berlangsung dalam 16 sidang di kampus Induk Shah Alam, empat sidang masing-masing di kampus cawangan Perlis dan Terengganu, tiga sidang di Sarawak dan dua sidang di Perak membabitkan 22,774 orang graduan.

Istiadat itu berlangsung bermula hari ini sehingga 31 Oktober. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...