APO DAH JADI : Jutaan TErima Kasih Untuk Setiap Klik Geng Semua...Sebab jadi penghidup blog ni...Saya akan membalas blogwalking geng semua yang datang selagi mampu

Thursday 20 October 2011

Sukan: Kim Swee Dalam Dilema

KIM SWEE (kanan) tidak risau dengan keputusan undian pada Sukan SEA 2011 tetapi yang menjadi kebimbangannya ialah tipu helah pasukan tuan rumah.
 
ADA sesuatu yang lebih merunsingkan fikiran pengendali skuad bola sepak bawah 23 tahun (B-23) kebangsaan, Ong Kim Swee menjelang sepak mula temasya Sukan SEA di Jakarta, Indonesia bulan depan.

Berbanding tekanan mengharungi ‘Kumpulan Neraka’ bersama jaguh Asia Tenggara seperti Thailand dan Singapura, Kim Swee sebenarnya lebih berwaspada dengan helah tuan rumah, Indonesia sama ada di dalam mahupun di luar padang pada temasya itu nanti.

Apa tidaknya, kerenah gelombang peminat fanatik Garuda yang tidak sudah-sudah membangkitkan isu laser ternyata dibuktikan semasa final Piala AFF Suzuki tahun lalu, padahal mereka terlebih dahulu melakukan tindakan yang sama ketika saingan di peringkat kumpulan.

Tidak mustahil ia akan kembali berlaku pada temasya Sukan SEA nanti, selain jadual undian menentang Indonesia pada perlawanan terakhir juga menghadirkan rasa debar di hati Kim Swee.

Apa yang pasti katanya, ia harus dikendalikan sematang mungkin oleh kesemua pemain Harimau Muda bagi memastikan pingat emas Sukan SEA Laos dua tahun lalu berjaya dipertahankan.

“Saya tipu kalau saya kata tidak takut (diundi dalam kumpulan maut), tetapi inilah lumrah bola sepak dan kita tidak berhak untuk mempertikaikan keputusan undian yang dibuat.

“Berbanding memikirkan cabaran pasukan lain (Singapura, Thailand dan Kemboja), saya lebih berhati-hati dengan helah pasukan tuan rumah sama ada di dalam ataupun di luar padang,” katanya ketika dihubungi di Hanoi malam tadi.

Bagi aksi Kumpulan A, Malaysia dijadualkan bertemu Singapura pada 9 November, Thailand (10 November), Kemboja (15 November) dan Indonesia (17 November) manakala aksi separuh akhir dan final diadakan pada 19 dan 21 November.

Aksi Kumpulan B pula dilihat lebih memihak kepada naib juara, Vietnam yang dilihat lebih mudah menempah slot ke separuh akhir apabila diundi bersama Myanmar, Laos, Filipina, Brunei dan Timor Leste.

Kim Swee yang ketika ini berada di Hanoi, Vietnam bagi mengharungi Kejohanan Jemputan Piala Vietnam (VFF) memberitahu, pasukannya harus bersikap lebih realistik semasa berada di Jakarta kelak memandangkan mempertahankan pingat emas dilihat lebih sukar berbanding mendapatkan pingat emas.

“Pada masa sama, pemain juga harus bersikap positif kerana pasukan lain juga menganggap kita sebagai pasukan pilihan dalam Kumpulan A selaku juara bertahan, justeru bukan kita sahaja yang merasa tertekan dengan situasi itu,” katanya.

Mengenai perkembangan pasukannya yang akan menentang Myanmar bagi aksi Piala VFF hari ini kata Kim Swee, dia menjangkakan akan mengubah keseluruhan kesebelasan utamanya yang diturunkan ketika tewas kepada Uzbekistan 1-3 pada perlawanan pembuka tirai kejohanan kelmarin.

“Ini peluang saya untuk menguji kesemua pemain, selain akan cuba mengatasi kelemahan di bahagian pertahanan yang dilihat sedikit alpa sebaik mula menyerang semasa babak kedua ketika menentang Uzbekistan tempoh hari,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...